Friday, September 12, 2008

Nor sa'diah binti Sahir


JOM JELAJAH BERSAMA 'AKU'.... (^;^)


NAMA : Nor sa'diah binti Sahir
NAMA SAMARAN : Sa'diah / Diya

TARIKH LAHIR : 10 Jun 1988
E-MEL :
diyahardiya@yahoo.com
JURUSAN : Pendidikan Seni Visual
FAKULTI : Fakulti Seni dan Muzik
INSTITUT : Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim , Perak Darul Ridzuan



KARYA CERPEN
Hasil karya :
Nor sa’diah binti Sahir
Pengorbanan
, Antologi Cerpen Perkampungan Penulis Muda Pelajar Sekolah Menengah Negeri Johor dan Melaka 2006 – 2007
DBP Wilayah Selatan



ELEVATOR : 2020

Gadis itu masih merenung ke luar dari tempat duduknya di tepi tingkap. Bersendirian. Menyaksikan panorama indah yang terhampar menghijau menyejukkan mata yang memandang, juga bersendirian tanpa satu pun teman di sisi. Tiada sesiapun untuk dia berkongsi nikmat pancaindera yang dirasainya saat ini.
Syaqilla masih duduk di situ tanpa mengendahkan suasana kelas 3 Musytari yang hingar-bingar dengan suara penghuninya yang bising dan membuang masa dengan berbual-bual kosong akibat ketiadaan guru. Seperti tiada kerja saja lagaknya. Namun itu semua tidak menggangu dirinya untuk terus menyepikan diri dengan mengagumi alam ciptaan Yang Maha Esa ini kerana dia telah sebati dengan keadaan itu.
Sesekali Syaqilla mencoret sesuatu di dalam buku notanya yang sedia terbuka itu. Hobinya memang gemar menulis. Tidak kiralah dia berada di mana pun, pasti pena dan buku nota yang comel berada di dalam genggamannya. Syaqilla amat disenangi rakan-rakan serta guru-guru kerana tabiatnya itu. Namun, selepas di disahkan menghidap satu penyakit yang pelik, Syaqilla seakan dipinggirkan lebih-lebih lagi di kalangan rakan sekelasnya.
Pada suatu petang ketika Syaqilla sedang menjalani latihan bola jaring di sekolah, tanpa diduga dia telah terjatuh menyebabkan betisnya terluka. Pada fikiran jurulatih, luka yang dialami Syaqilla adalah luka biasa tetapi lukanya itu mengalami pendarahan yang berlarutan. Apabila Syaqilla dihantar ke hospital untuk menerima rawatan lanjut, dia telah disahkan oleh doktor bahawa Syaqilla seorang penghidap haemofilia.
Haemofilia ialah sejenis masalah pendarahan yang disebabkan kekurangan sejenis protein yang dipanggil faktor pembekuan darah VIII (8) dan XI (9). Secara ringkasnya, haemofilia menyebabkan pendarahan berlaku lebih lama berbanding individu normal. Kewujudan haemofilia jarang berlaku dan ia hanya membabitkan satu kes bagi setiap 10 000 kelahiran.
Haemofilia boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu haemofilia A (jika kekurangan faktor pembekuan VIII) dan haemofilia B (akibat kekurangan faktor pembekuan XI). Namun kedua-duanya mengalami masalah yang sama.
Haemofilia adalah masalah keturunan yang diwariskan kepada anak melalui kromosom X iaitu bahan baka yang menentukan jantina wanita. Ia tidak berjangkit atau membahayakan orang lain. Bagaimanapun, adakalanya haemofilia boleh berlaku secara tiba-tiba walaupun tiada sejarah keluarga iaitu apabila kromosom X mengalami mutasi. Kajian menunjukkan mutasi kromosom X menyebabkan 30% kes haemofilia di seluruh dunia.
Untuk membentuk jantina perempuan, seseorang itu perlu mempunyai dua kromosom X (XX) dab lelaki pula memerlukan satu kromosom X dan Y (XY). Ketika persenyawaan., salah satu kromosom dari ibu akan berpasangan dengan satu kromosom daripada ayah (membentuk sama ada XX atau XY iaitu anak perempuan atau lelaki).
Jika bapa adalah pembawa haemofilia dan ibu seorang yang normal, bermakna semua anak lelaki bebas daripada masalah ini. Sebaliknya anak-anak perempuan akan menjadi pembawa genetik haemofilia. Jika ibu adalah pembawa dan bapa pula normal, anak lelakkinya mempunyai kebarangkalian 50% mengalami haemofilia dan 50% kebarangkalian anak perempuan menjadi pembawa. Sebaliknya, jika ibu adalah pembawa dan ayah pula mempunyai masalah haemofilia, semua anak akan mengalami haemofilia termasuk anak perempuan tetapi ia jarang berlaku.
Haemofilia boleh dibahagikan kepada tiga tahap masalah iaitu haemofilia ringan, sederhana, dan serius. Haemofilia ringan merupakan satu aktiviti faktor pembekuan darah yang berlaku antara 5 hingga 30%. Golongan ini mungkin mengalami pendarahan berpanjangan selepas pembedahan atau kemalangan teruk. Mereka juga mungkin mengalami pendarahan, tidak kerap berdarah, atau tiada pendarahan kecuali luka.
Haemofilia sederhana pula berlaku apabila faktor pembekuan darah di antara 1 hingga 5%. Golongan ini mungkin mengalami pendarahan yang lama selepas pembedahan, kemalangan teruk, atau selepas memerima rawatan gigi. Malah mereka ini juga mengalami pendarahan sekali setiap bulan.
Haemofilia serius berlaku apabila aktiviti pembekuan darah kurang daripada 1%. Mereka yang berada di dalam golongan ini kerap mengalami pendarahan pada otot dan sendi terutamanya di bahagian siku, lutut, dan buku lali. Pendarahan pula berlaku satu atau dua kali seminggu tanpa sebab.
Akibat penyakit yang datang menyerang secara tiba-tiba itu, Syaqilla disarankan supaya sentiasa berhati-hati dan ditegah daripada menyertai mana-mana aktiviti lasak terutamanya yang banyak melakukan pergerakan seperti melompat, berlari, atau bersentuhan badan dengan orang lain seperti sukan bola jaring. Mahu tidak mahu, Syaqilla terpaksa menerima takdir Allah dengan redha dan mengorbankan gelarannya sebagai seorang atlet sekolah di dalam sukan tersebut walaupun dia amat menyayanginya. Tapi dia lebih menyayangi nyawa dan kesihatan dirinya. Kalau dia masih lagi berdegil untuk bersukan, dia mungkin akan memudaratkan diri sendiri.
Oleh sebab penyakit itu jugalah, Syaqilla dipulaukan rakan-rakannya kerana ada pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan fitnah bahawa penyakit yang dialami Syaqilla boleh berjangkit melalui sentuhan kulit. Bagi yang tidak mengerti masalah penyakit itu pasti dengan mudah mempercayainya. Cuma beberapa orang rakannya yang memahami serta bersimpati dengan keadaan yang sebenar cuba memberikan kata-kata semangat supaya Syaqilla lebih kuat menjalani hari-hari yang mendatang.
Syaqilla masih duduk di situ. Matanya tidak lagi tertumpu pada suasana indah di luar sana. Kotak memorinya teringat pada projek Sains yang diarahkan oleh En. Samuel Chong dikelasnya semalam. Sebenarnya, projek itu perlu dilakukan dalam sebuah kumpulan tetapi tiada siapa yang ingin mengambilnya untuk menjadi ahli kumpulan mereka. Mahu tidak mahu, Syaqilla terpaksa menyiapkannya seorang diri. Walaupun berseorangan, dia percaya bahawa dia boleh melakukan yang terbaik. Aku mesti buktikan pada mereka! Azam Syaqilla yang ditanamnya dalam-dalam di dalam hati.

Syaqilla melihat suasana sekeliling dari dalam kapsul itu. Terasa bangga apabila dia menjadi orang pertama dalam ekspedisi meneroka angkasa lepas dengan menggunakan lif angkasa ciptaannya ini. Ya, lif angkasa lepas! Walaupun penggunaan lif ini berada dalam peringkat percubaan, tapi Syaqilla amat yakin dan pasti bahawa ciptaannya ini selamat untuk dinaiki. Dia mengambil risiko ini kerana ingin membuktikan kepada pihak Agensi Angkasa lepas amerika Syarikat (NASA) yang tidak mempercayai kebolehan ciptaannya. Dan yang lebih penting, jika projek ini berjaya, lif tersebut boleh membawa seluruh rakyat dari pelusuk dunia yang ingin melihat sendiri betapa indah dan hebatnya alam cakerawala ciptaan Yang Maha Berkuasa.
Lif angkasa ini merupakan satu-satunya lif ke angkasa lepas seraus peratus ciptaan anak Malaysia. Projek ini telah menelan belanja sekitar RM40 bilion, melebihi budget yang dirancangkan iaitu sebanyak RM2 bilion. Sebenarnya, projek Elevator:2020 ini bertujuan untuk menggalakkan pembabitan orang ramai dan ahli akademik dalam projek tersebut. Pembabitan saintis dalam projek ini disebabkan oleh kemajuan dalam bidang teknologi karbon nanotiub yang memberi kepada terbinanya lif angkasa lepas ini.
Dengan menggunakan bahan karbon yang kukuh dan ringan, satu batabg atau dikenali sebagai ‘ribbon’ menjadi platform untuk meletakkan lif tersebut yang kemudiaanya mendaki setinggi 99,779.33 kilometer ke angkasa. ‘Ribbon’ itu mempunyai 0.91 meter lebar dan ketebalannya lebih nipis daripada kertas. Ia diperbuat daripada bahan yang dikenali sebagai ‘Carbon Nanotube Composite’.
Nanotiub merupakan kepingan ‘graphite’ – karbon yang bersilang – yang akan bergolek menjadi tiub yang panjang dengan diameternya diukur dalam ukuran nanometer. 1 nanometer bersamaan dengan 0.000000001 meter. Karbon ini mempunyai kekuatan 100 kali ganda lebih kuat daripada besi tetapi adalah lebih ringan. System itu seberat 1,500 tan dan boleh mengangkut barangan seberat 16 tan setiap hari, contohnya digunakan untuk mengangkut satelit atau peralatan untuk stesen di angkasa.
Penghujung ‘ribbon’ itu akan terhayun di angkasa dengan mempunyai pemberat (atau pangkalan) di angkasa dengan pemberat kira-kira 20 tan dan berada melebihi orbit. Disebabkan faktor graviti, ia umpama menggantung benang dari bumi dan tertarik dengan berat di angkasa.
Kenderaan elektrik berbentuk kapsul yang sedang dinaiki Syaqilla ini dikenali sebagai ‘pendaki’. Ia akan mendaki melalui ‘ribbon’ atau tiang tersebut menggunakan kuasa elektrik daripada panel solar atau pancaran cahaya dari Bumi. ‘Pendaki’ itu mampu bergerak melalui ‘ribbon’ itu dengan kelajuan 200 kilometer sejam. Objek-objek di angkasa juga boleh dielakkan dengan mengubah kedudukan kapal atau pemberat di hujungnya.
Dari dalam kapsul tersebut, pelbagai panorama menarik dapat dijamah oleh kedua belah mata Syaqilla. Semua yang berada di sekelilingnya telah membuatkannya berasa teruja dengan keindahan yang gagal diungkapkan dengan kata-kata. Artikel tentang kewujudan sebuah planet paling besar yang selalu dibaca di Internet dan dada-dada akhbar majalah aeroangkasa kini berada di depan matanya.
Syaqilla pernah melihatnya dengan menggunakan Subaru Telescope iaitu sebuah teleskop yang berkualiti dan berkuasa tinggi. Ketika itu, secara kebetulan dia perlu menjalankan tugas di Hawaii dan ahli astronomi di situ buat pertama kalinya berjaya mengesan planet unik tersebut.
Ya, planet extrasolar dengan teras yang keras itu memang besar! Teras yang sangat besar itu menyamai saiz sebesar 70 buah bumi dan ia mungkin terbentuk daripada pelanggaran dengan planet lain. Planet ini telah ditemui di sekitar bintang yang dikanali sebagai HD 149026, yang mana kaya dengan elemen yang lebih berat berbanding hidrogen dan helium.
Tetapi, baru-baru ini ahli astronomi di Arizona dengan menggunakan robot teleskopnya menyedari bahawa 0.3 peratus kecerahan bintang itu semakin berkurangan setiap 2.87 hari. Kesuraman itu menunjukkan bahawa planet tersebut merupakan sebahagian daripada lapan kumpulan elit yang telah dikenali sebelum ini. Ia melintas secara terus di antara kebanyakan bintang dan Bumi sepanjang pengorbitan mereka. Lintasan itu akan mendedahkan secara tepat saiz fizikal dan berat planet tersebut yang kemudiannya boleh digunakan untuk menentukan kepadatannya.
Jadi, hasilnya diperoleh kemudiannya dan adalah sesuatu yang mengejutkan yang mana planet tersebut adalah kira-kira 3 suku daripada planet Jupiter. Akan tetapi, kepadatannya menunjukkan sebahagian atau dua pertiga daripada beratnya disebabkan oleh elemen berat yang kebanyakannya dalam bentuk teras yang keras.
Syaqilla berfikir sendirian. Dalam diam, dia mengagumi keagungan ciptaan-Nya. Walaupun dia merupakan salah seorang di antara barisan pakar astronomi negara sekarang dan terlalu maklum dalam hal-hal yang berkaitan dengan dunia angkasa lepas, tapi Syaqilla tetap berasa teruja lebih-lebih lagi apabila dia dapat melihat sendiri suasana sebenar alam angkasa lepas. Syaqilla bersyukur kepada Allah kerana dia telah diberikan peluang ini.
Tiba-tiba, Syaqilla merasakan bahawa lif angkasa itu bergegar. Semakin lama semakin kuat menyebabkan dia gagal untik mengawal diri. Tanpa disedarinya, struktur kapsul yang dinaikinya itu mulai kemek seperti dihentam di sana sini. Syaqilla mula dirundung rasa cemas. Adakah lif itu mengalami tekanan daripada luar? Syaqilla bermonolog sendiri. Tanpa membuang masa lagi, dia terus menghubungi pangkalan di Bumi untuk mendapatkan bantuan. Butang berwarna merah tanda kecemasan itu segera ditekan berkali-kali namun tiada sebarang jawapan yang diterimanya. Syaqilla cuba untuk menenangkan perasaannya sendiri yang mula berkecamuk akibat terlalu cemas.
Tanpa diduga, muncul satu cahaya berwarna kuning keemasan berbentuk bulat dari arah bertentangan dengan kapsul yang diselaputi kaca lutsinar berkualiti tinggi itu. Syaqilla cuba meneliti cahaya tersebut dengan menggunakan teleskop berkuasa tinggi bagi memastikan apakah objek yang bergerak terlalu laju itu sebenarnya.
“Mateor!” Jeritnya kerana tidak percaya dengan apa yang dilihatnya tadi. Meteor tersebut sedang menuju ke arah Bumi tapi berkemungkinan besar akan bertembung dan melanggar dengan kapsul ini. Walaupun meteor tersebut boleh dihalang daripada merentasi atmosfera Bumi tetapi kelajuannya yang mencapai tahap yang paling maksima melebihi kelajuan meteor sebelum ini, dan proses untuk menghalang meteor tersebut mungkin gagal walaupun dengan menggunakan teknologi tercanggih.
Syaqilla masih lagi berusaha untuk menghubungi pihak pangkalan namun masih lagi gagal. Dalam keadaan cemas begitu, dia perlu mendapatkan bantuan daripada pihak pangkalan supaya mengalihkan pemberat ke arah yang lebih selamat supaya kedudukan lif tersebut tidak berada dalam lintasan meteor itu. Cahaya yang amat cerah dan terang itu terus-terusan menusuk ke dalam kornea mata Syaqilla. Pada waktu itu, aku hanya berserah kepada Allah dan…

“Sekian sahaja penerangan saya mengenai projek Elevator:2020 ini. Terima kasih,” ujar Syaqilla sambil menundukkan kepala sedikit tanda mengakhiri persembahan projek Sainsnya. Seraya itu, dia juga menerima tepukan yang paling gemuruh hingga menggegarkan jantungnya daripada semua penghuni Tingkatan 3 Musytari. Masing-masing terpegun dengan projek yang dihasilkan oleh Syaqilla lebih-lebih lagi En. Samuel Chong. Rakan-rakan kelasnya yang lain tidak percaya bahawa Syaqilla akan menghasilkan sebuah projek Sains yang sebegitu hebat.
“Bagus, Syaqilla! Saya tidak sangka yang awak dapat menghasilkan projek sebagus ini. Saya bangga dengan awak!” puji En. Samuel lagi tanpa henti-henti tersenyum. Bangga dengan pencapaian pelajarnya yang mengejutkan itu.
Sejak daripada itu, Syaqilla tidak lagi dipandang rendah oleh sesiapa lagi mahupun dari kalangan rakan-rakannya. Kemampuannya memang tidak dapat disangkal lagi walaupun dia memiliki kekurangan iaitu menghidap haemofilia. Tetapi itu semua tidak mematahkan semangatnya untuk terus berusaha dan mendapatkan yang terbaik untuk dirinya.
Selain menerima markah tertinggi dalam projek Sains itu, Syaqila juga telah mewakili sekolah dalam Pertandingan Sains, Teknologi, dan Inovasi serta menjadi johan sekaligus membawanya pergi ke peringkat daerah dan terus cemerlang hingga ke peringkat kebangsaan.
Bakatnya dalam bidang penulisan kreatif juga telah dimanfaatkan sebaiknya. Kesinambungan daripada projek Sainsnya itu, Syaqilla telah menghasilkan sebuah cerpen bertajuk Elevator:2020 dan telah menyandang gelaran johan dalam Pertandingan Menulis Cerpen Sains. Selepas kejayaan demi kejayaan yang dirangkul oleh Syaqilla, ramai yang mula membuka mata dengan kemampuan yang dimilikinya.

Syaqilla mengangkat kedua belah tangannya. Berdoa dan memohon kepada Allah serta mensyukuri di atas segala nikmat yang telah diberikan kepadanya…



KARYA PUISI
Hasil Karya :
Nor sa’diah binti Sahir
Pengorbanan, Antologi Cerpen Perkampungan Penulis Muda Pelajar Sekolah Menengah Negeri Johor dan Melaka 2006 – 2007
DBP Wilayah Selatan



ANAK MUDA

Anak muda
kau terlalu jahil
tentang erti sebuah kehidupan
kauterus jua melayari jeladeri dosa
kaubiarkan dirimu hanyut
menurut arus duniawi
kaumerelakan dirimu lemas
ke dasar kepalsuan dunia
yang hebat berombak.

Anak muda
mengapa kaumempersiakan
pelayaran hidupmu
usahlah kauberlabuh di pulau dosa
mahupun melewatinya
janganlah kauturuti
aliran hawa nafsumu
usah biarkan bahtera impianmu
menelusuri segara kehidupan
tanpa arah tujuan
yang belum pasti.

Anak muda
jadikanlah syurga itu sebuah pelabuhan
yang suci dan hakiki
yang kauakan tujui
layarkanlah bahtera hidupmu
menurut kompas syariat agama
lawanlah arus nafsumu
yang bergelodak itu
dengan gemersik tiupan bayu iman
yang menyapa lembut ke pepasiran
yang terhampar di pantai hatimu.

Anak muda
jejaklah ke lorong kebenaran
agar dirimu terpimpin ke jambatan Islam
pulanglah semula ke dalam dakapan Pencipta
jangan biarkan dirimu disirna
kuasa nafsu yang menyelimuti gerbang jiwamu.

No comments:

Post a Comment