Wednesday, September 17, 2008

Muhamad Fazlie Bin Saadon

nama: muhamad fazlie bin saadon
tarikh lahir: 12 oktober 1988
tempat lahir: melaka
hobi: melukis, membaca komik, menonton anime
alamat: km3160, jln sutera 5, tmn sutera, kelemak, 78000 alor gajah melaka
pendidikan:
1995-2000: SK ALOR GAJAH 1, ALOR GAJAH (TAHUN 1-6)
2001: SMK DATO’ HAJI TALIB KARIM, ALOR GAJAH (TING.1)
2002-2005: SMK SRI TEBRAU, JOHOR BAHRU (TING.2-5)
2006-2007: SMK DATO’ HAJI TALIB KARIM, ALOR GAJAH (TING.6)




KEMPEN KITAR SEMULA
Oleh: Muhamad Fazlie bin Saadon

Proses urbanisasi yang dilihat semakin rancak di Malaysia pada hari ini sememangnya telah memberi suatu kesan atau impak yang amat hebat dan ketara dari aspek penjanaan sampah atau sisa buangan pepejal yang dihasilkan oleh manusia sendiri. Sampah atau sisa buangan pepejal ini dengan kata lain boleh diklasifikasikan sebagai sesuatu yang tidak digunakan lagi dan tidak mempunyai nilai ekonomi setelah ia menjalani proses terakhir iaitu setelah sesuatu produk habis digunakan atau dimanfaatkan.
Sememangnya, ‘kitar semula’ mempunyai skop penilaian yang meluas dan pelbagai. Maka, dalam penulisan esei ini saya telah mengambil inisiatif dengan membuat pembatasan isi kepada definisi kitar semula, jenis bahan yang boleh dikitar semula, bahan yang tidak boleh dikitar semula, cara mengitar semula bahan buangan di rumah, cara mengitar semula bagi setiap kategori bahan dan kepentingan kitar semula terhadap masyarakat, negara dan alam sekitar.
Apabila berbicara mengenai kitar semula, adalah telalu mudah untuk sesiapa sahaja melafazkannya. Namun, bagaimanakah pula dengan penghayatan kita terhadap kitar semula? Adakah kita semua tahu apakah sebenarnya yang terkandung disebalik perkataan tersebut? Kitar semula terbentuk daripada dua patah perkataan iaitu ‘kitar’ dan ‘semula’. Kedua-dua patah perkataan ini saling bergantung dan tidak akan lengkap sekiranya salah satu daripadanya di buang. Apabila disambungkan kedua-duanya itu, maka akan membentuk suatu definisi yang lengkap tentang kitar semula. Pertama, kitar semula bermaksud proses memperolehi atau menjadikan sebahagian atau semua bahan daripada sampah untuk di guna semula. Manakala definisi kedua kitar semula pula ialah suatu proses mengitar semula yang melibatkan usaha mengumpul, memproses dan mengguna semula bahan-bahan yang pernah dianggap sebagai sampah.
Pelaksanaan kempen kitar semula sebenarnya mempunyai objektif sasarannya yang tersendiri iaitu untuk memupuk tabiat kitar semula dan 3R (program kitar semula) dalam kalangan masyarakat Malaysia. Program kitar semula yang dilancarkan ini sangat berfokus pada usaha untuk mencapai sasaran fizikal peningkatan sebanyak 1 peratus dalam pengitaran semula sisa pepejal pada setiap tahun. Begitu juga dengan kadar penstabilan dan pengurangan dalam penjanaan sisa per kapita dalam tempoh yang ditetapkan turut diberikan perhatian. (Seow, 2004)
Setelah kita mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan kitar semula, maka sekarang barulah kita cuba beralih pula kepada jenis-jenis bahan yang boleh untuk dikitar semula. Pada hari ini jika dilihat disekeliling kita terdapat begitu banyak longgokan sampah sarap atau bahan buangan yang pelbagai jenis dan kategorinya. Secara umum, terdapat 4 jenis item yang disarankan kerajaan kepada orang ramai untuk dikitar semula. Item-item tersebut adalah terdiri daripada plastik, kertas, aluminium dan kaca.
Semua jenis kaca tidak kira apapun juga jenisnya, termasuklah botol minuman, bekas makanan, botol vitamin dan bekas kosmetik adalah boleh dikitar semula untuk diproses menjadi barangan yang baru. Masyarakat hanya perlu mengumpulkan semua jenis kaca ini dan ia mestilah diletakkan di dalam tong yang berwarna coklat.

Kemudian, semua jenis barangan yang diperbuat daripada aluminium seperti tin-tin minuman juga boleh dikitar semula. Apa yang penting disini ialah peranan dan komitmen seluruh masyarakat untuk sama-sama berganding bahu untuk mengitar semula. Harus diingat, bahan-bahan aluminium juga mestilah dimasukkan ke dalam tong yang sepatutnya iaitu yang berwarna jingga.
Seperti yang kita semua ketahui, semua jenis kertas sama ada yang berwarna ataupun yang tidak berwarna, seperti suratkhabar lama, majalah lama, buku, katalog, risalah, kalendar, kad, sampul surat dan kotak sebenarnya boleh dikitar semula. Semua jenis kertas mestilah dimasukkan ke dalam tong yang berwarna biru. Tindakan mengitar semula kertas ini adalah penting sebagai langkah untuk menjimatkan khazanah alam iaitu pokok-pokok yang sedang mengalami ancaman kepupusannya di Malaysia ini.
Selain itu, tidak lupa juga bahawa beg-beg membeli belah yang diperbuat daripada plastik, beg plastik dari supermarkat, botol minuman plastik, botol air mineral dan bekas makanan yang diperbuat daripada plastik boleh diproses untuk dikitar semula. Pendek kata, semua bahan atau barangan yang memang dihasilkan menggunakan gabungan bahan-bahan kimia yang dapat membentuk plastik sangat penting untuk dikitar semula. Caranya ialah dengan mengambil semua jenis plastik ini dan ia mestilah dimasukkan ke dalam tong yang berwarna jingga. Sebagai maklumat, plastik merupakan sesuatu yang terpaksa mengambil masa yang panjang untuk mereput. Jadi, bagi mengelakkan pembebasan bahan kimia yang berbahaya ke dalam struktur tanah, ia perlu diproses dengan segera melalui kaedah kitar semula. Adalah lebih selamat daripada kita membiarkan sahaja plastik-plastik tersebut dibuang merata-rata.
Sekarang, kita akan cuba mengupas dengan lebih lanjut mengenai item-item yang kerajaan sarankan untuk dikitar semula, seperti yang telah diberitahu sebentar tadi di atas ini. Antara bahan buangan yang popular dan amat mudah dilihat ialah dari kategori kertas. Surat khabar, kertas-kertas dari pejabat, kertas-kertas dari pencetak, majalah, risalah dan lain-lain yang sejenis dengannya adalah bahan-bahan yang boleh dikitar semula. Kertas dihasilkan dari kulit kayu atau pulpa yang sangat berharga dan tinggi nilainya. Apakah yang akan terjadi sekiranya manusia terus rakus untuk menebang dan memproses khazanah alam yang kian pupus ditenggelamkan arus kepesatan ini terhadap generasi yang akan datang? Saban hari, peningkatan masyarakat dalam sektor pendidikan dan kerjaya yang semakin ketara telah menyebabkan kadar penggunaan kertas turut mengalami pertambahan mendadak. Hal ini amat membimbangkan ekoran kekhuatiran kita terhadap keadaan tumbuhan-tumbuhan khasnya pokok-pokok balak yang semakin terancam. Bukan setakat itu sahaja, ada kemungkinan juga dalam keadaan yang mendesak ini, terdapat sesetengah pihak tidak bertanggungjawab yang akan mengeksploitasi sumber alam tersebut bagi tujuan yang lebih teruk dengan berlindungkan pada ambiguiti syarikat-syarikat yang memang terlibat dalam aktiviti menghasilkan kertas secara langsungnya. Adalah mudah bagi masyarakat untuk membantu kerajaan dalam memastikan kempen kitar semula yang telah dilancarkan itu mampu mencapai objektifnya. Bagi bahan buangan jenis kertas ini, kita hanya perlu mengumpulkannya untuk kuantiti yang sebanyak mungkin dan kemudian cuba pula untuk mengasingkan kertas-kertas itu mengikut grednya sebelum dimasukkan ke dalam tong yang berwarna biru.
Bahan buangan kedua yang boleh dikitar semula ialah plastik. Di Malaysia sahaja, terlalu banyak plastik yang boleh dikitar semula. Semua itu datangnya dari kategori bekas-bekas minuman, botol-botol sabun, bekas makanan, pembalut makanan, bekas aiskrim dan banyak lagi. Mengapa negara Malaysia pada hari ini terdapat begitu banyak plastik berbanding beberapa tahun terdahulu? Mengapa pula banyak plastik yang dibuang secara sesuka hati dan bertaburan di sana sini? Ini disebabkan oleh sikap dan Lantaran sikap tidak peka dan ambil peduli tentang bahaya yang bakal mengancam diri sendiri, masyarakat dilihat begitu gemar menggunakan beg plastik dalam banyak keadaan khususnya apabila pergi membeli sesuatu barangan walaupun dalam kuantiti yang sedikit. Sama ada mereka sedar atau tidak, kadar penggunaan plastik yang berleluasa akan mengakibatkan negara terpaksa membelanjakan kos yang yang tinggi semata-mata mahu melupus dan mengitar semula pelbagai jenis plastik yang sememangnya sukar untuk mengurai. Ini kerana, bahan plastik akan mengambil masa yang lama untuk benar-benar mereput. Kandungan bahan kimia yang terhimpun di sebalik sesuatu bahan plastik itu adalah berbahaya dan boleh menjejaskan kualiti dalaman tanah ekoran penyerapan bahan kimia itu ke dalam struktur tanah.

Selain kertas dan plastik, antara bahan buangan lain yang boleh digunapakai menerusi kaedah kitar semula ialah kertas kadbod keras. Kertas kadbod ini adalah kukuh dan lebih teguh keadaan fizikalnya berbanding kertas-kertas yang biasanya kita gunakan. Lebih ketara lagi apabila kertas kadbod keras ini sangat jarang diperoleh. Ini kerana, kertas kadbod keras hanya kita dapat apabila kita membeli barangan elektrik ataupun perabot yang biasanya dibungkus dengan kotak kadbod yang besar. Hakikatnya, begitu ramai orang buntu dan tidak tahu apa yang perlu dibuat terhadap kotak-kotak tersebut. Lantas, apa yang dilakukan ialah mengambil jalan pintas sebagai penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi iaitu dengan cara membuang kertas kadbod keras atau kotak itu begitu sahaja. Tindakan tersebut sebenarnya adalah kurang bijak dan ia hanya layak diamalkan oleh mereka yang tidak mempunyai ilmu pengetahuan yang cukup berkaitan kitar semula. Seandainya mereka benar-benar tidak tahu untuk berbuat apa ke atas kertas kadbod itu, maka adalah lebih baik jika mereka menghantarkannya ke pusat-pusat kitar semula yang berhampiran atau letakkan di tempat yang mempunyai tong kitar semula. Mengapa pula harus di buang merata-rata bahan tersebut yang jelasnya hanya akan mengakibatkan kesan buruk terhadap alam dan menjejaskan keindahan alam yang terdapat di Malaysia ini?
Adakah kita selalu membeli barangan yang menggunakan botol kaca sebagai tempat penyimpanannya? Jika benar, apakah yang kita akan lakukan terhadap botol kaca itu setiap kali isi di dalamnya habis digunakan? Adalah salah jika anda menjawab bahawa ia hanya dicampakkan begitu sahaja ke dalam tong sampah atau dan lebih salah lagi jika anda mengambil jalan yang lebih mudah lagi iaitu hanya dibuang sekadar di belakang rumah sahaja. Hal ini kerana botol kaca merupakan salah satu bahan buangan yang juga sukar untuk dikitar semula dan perlu diproses dalam keadaan yang lebih kompleks berbanding bahan buangan yang mudah dikitar semula seperti kertas. Adalah lebih baik jika kita bersikap lebih prihatin denagan cara mengurangkan pembelian barangan yang dibotolkan atau berada di dalam bekas kaca. Selain agak susah untuk dikitar semula, bahan-bahan yang berunsurkan kaca turut boleh menyebabkan bahaya dan kemalangan seperti memberi kecederaan kepada pengguna apabila ia pecah dan berpermukaan tajam. Walau bagaimanapun, memang diakui pada hari ini masih terdapat bekas-bekas jem dan bekas-bekas makanan yang sesetengahnya masih lagi dipekkan dalam botol. Jadi, sebagai langkah yang bijak, anda adalah digalakkan untuk mengitar semula botol-botol tersebut ataupun menggunakanya semula bagi tujuan menyimpan makanan lain di dalamnya.
Manakala bahan terakhir yang boleh dikitar semula adalah bahan yang datangnya dari kategori pakaian. Apabila bercakap mengenai kitar semula pakaian, anda tidak perlu berasa hairan kerana kita bukannya perlu untuk mengumpulkan pakaian-pakaian lama tersebut dan kemudian disumbatkan di dalam mulut tong kitar semula yang disediakan. Hal ini sudah cukup jelas kerana kerajaan hanya menyediakan tiga jenis tong sahaja untuk kitar semula iaitu untuk kertas (biru), kaca (coklat) dan plastik dan aluminium (jingga). Apa yang dimaksudkan dengan menitar semula pakaian-pakaian lama ialah dengan cara kita memberikan pakaian-pakaian lama yang masih boleh diguna semula itu atau didermakan sahaja kepada badan-badan kebajikan yang layak dan memerlukan. Secara keseluruhannya, cara ini dilihat dapat memberi penjimatan ruang dan tempat, disamping turut memberi bantuan kepada mereka yang benar-benar memerlukannya.
Jika sebelum ini kita telah menyingkap tentang bahan-bahan buangan yang boleh dikitar semula, maka sekarang bolehlah kiranya kita cuba untuk mengkaji berkaitan bahan-bahan yang tidak boleh dikitar semula. Tahukah anda bahawa sebenarnya ada kertas yang memang tidak boleh dikitar semula. Apakah itu? Maka disini kita akan bersama-sama mengetahui antara jenis-jenis kertas yang dimaksudkan itu. Antaranya ialah kotak pizza atau apa-apa yang disaluti dengan minyak atau bekas makanan, pinggan kertas, tisu muka, kertas karbon, lampin, buku-buku yang berkulit tebal, kotak susu, kertas yang telah disaluti lilin atau plastik, bekas makanan beku dan tuala kertas.

Selepas itu, bagaimana pula halnya dengan bahan aluminium? Masih adakah di antaranya yang juga tidak boleh dikitar semula? Ya, memang benar terdapat aluminium yang tidak boleh dikitar semula anataranya seperti aluminium dari jenis tin aerosol, tin cat, penggantung baju, bahan perubatan dan penapis minyak. Hal ini demikian bahan aluminium yang telah disenaraikan ini merupakan bahan bekas yang pernah menyimpan bahan-bahan beracun dan amat berbahaya untuk kesihatan manusia. Sebagai contohnya, tin aerosol dan tin cat yang masing-masing dihasilkan melalui campuran kimia dan racun yang direka khas bagi tujuan membunuh serangga seperti nyamuk manakala cat pula amat sinonim dengan bahan kimia yang popular ekoran kemampuannya untuk merangsang pertumbuhan sel kanser dalam tubuh manusia. Hal ini jelas apabila kita meneliti statistik atau laporan kesihatan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia yang menerangkan kepada kita kadar pesakit yang diserang pelbagai jenis kanser berbahaya yang disebabkan oleh perbuatan sama ada sengaja atau tidak menghidu atau terlalu kerap berhadapan dengan bahan kimia cecair yang dirumus khas khususnya bagi mereka yang berkecimpung dalam industri membuat cat.
Bahan buangan jenis kaca juga ada di antaranya yang memang tidak boleh untuk melalui proses kitar semula. Jenis-jenis kaca yang dimaksudkan disini ialah terdiri dari gelas minum, kaca tingkap, cermin mentol, kaca tingkap yang pecah dan cermin kereta, kaca tahan suhu tinggi antaranya seperti Pyrex, Corning Ware, Vision Ware, botol legap putih, kaca yang digunakan di makmal atau hospital untuk kajian dan perubatan, cermin tingkap, mentol, cermin muka, pinggan mangkuk yang pecah, kaca untuk ketuhar, gelas minuman, kaca kristal, seramik dan tiub lampu yang berwarna. Apakah yang anda rasa setelah mengetahui segala bahan kaca yang telah disenaraikan ini sebenarnya tidak boleh dikitar semula? Bayangkanlah bahawa selama ini telah terlalu banyak bahan berunsur kaca yang telah kita gunapakai tanpa menyedari kebanyakan daripadanya adalah tergolong dalam kategori di atas? Maka, setelah mengetahui tentang hal ini, marilah kita bersam-sama merenung kembali apakah yang akan terjadi sekiranya dalam tempoh beberapa tahun sahaja lagi, dimanakah tempat makhluk yang bergelar manusia untuk bertapak? Ini tidak mustahil berlaku kerana jumlah penggunaan bahan-bahan kaca di atas merupakan antara barangan yang amat diperlukan dalam menjalani kehidupan sebagai seorang manusia di muka bumi ini. Tambahan pula, Malaysia kini yang sedang mengorak langkah untuk mencapai kepesatan pembangunan sekaligus menjadi antara negara maju di persada dunia. Ekoran itu, adalah tidak boleh disangkal bahawa kepentingan bahan-bahan kaca tersebut mungkin akan mendapat permintaan yang tinggi kelak oleh masyarakat di Malaysia. Oleh yang demikian, kebijaksaan masyarakat dalam mengawal kadar penggunaa bahan-bahan ini adalah sangat penting!

Bagaimana pula ceritanya tentang plastik? Suatu bahan buangan yang amat berbahaya sekiranya ia tidak diberi perhatian dan ditangani dengan baik, sudah pastinya mengundang impak yang besar terhadap kehidupan masyarakat kita lantaran bahaya yang bakal disebabkan oleh bahan kimia yang terkandung di dalamnya. Jenis-jenis plastik yang dikatakan tidak boleh dikitar semula ini terdiri daripada bahan plastik yang bukannya botol seperti bekas yogurt dan bekas marjerin, bekas makanan yang diperbuat dari plastik, dan botol plastik yang mempunyai kesan dan sisa minyak padanya. Semua itu berkaitan plastik yang digunakan dalam industri makanan. Sementara dalam konteks plastik yang mengamdungi bahan kimia pula ialah seperti racun serangga atau bahan-bahan beracun seperti Styrofoam yang banyak digunakan oleh masyarakat dalam kehidupan mereka untuk kawalan serangga perosak dan sebagainya.Sementara itu, masih ada bahan-bahan yang lain dan tidak dimasukkan dalam senarai di atas yang didapati turut sukar untuk diproses menjadi barangan yang baru. Antaranya ialah bahan letupan, asbestos, lampu kalimantang, bateri, dan bahan-bahan yang digunakan dalam bidang perubatan. Secara sedar atau tidak, adalah terlalu banyak barangan di sekeliling kita yang menyumbang kepada faktor pencemaran disebabkan punca utamanya yang tidak boleh dikitar semula. Berbanding bahan yang boleh dikitar semula, adalah kurang membimbangkan kita tentang bagaimanakah cara untuk memprosesnya kerana sudah jelas ia boleh dilakukan melalui kaedah kitar semula. Apa yang menjadi masalahnya sekarang ialah sejauh manakah pencapaian akal kita dalam memikirkan kaedah yang benar-benar berkesan dan dapat menyelesaikan isu bahan yang tidak boleh dikitar semula ini secara total. Bahan-bahan radioaktif merupakan sejenis bahan yang pastinya tidak boleh untuk dikitar semula pada ketika ini. Bagaimanakah caranya untuk kita mengeksploitasi segala macam idea dan kebijaksanaan yang ada bagi mengkaji kaedah yang mampu meneutralkan bahan-bahan radioaktif yang diakui sangat berbahaya terhadap kesihatan dan pertumbuhan sel makhluk yang hidup.Mampukah kita sebagai seorang manusia biasa untuk menggunakan akal yang telah diberi oleh yang Maha Pencipta pada tahap yang sehabis mungkin? Semuanya ini bergantung pada dir kita sendiri. Jika memang benar kita sudah kehabisan akal untuk mengkaji suatu kaedah kitar semula yang lebih hebat, maka berbaliklah kita kepada tahap awal sebelum berlakunya pencemaran alam yang serius, iaitu berwaspada dengan penggunaan barangan yang sukar dikitar semula ini dengan semaksimum yang mungkin.
Bagaimanakah caranya untuk memulakan kitar semula di rumah? Itulah diantara soalan yang kerap kali diajukan oleh masyarakat khasnya golongan segelintir suri rumah yang kebanyakan masanya banyak dihabiskan di rumah. Namun begitu, masih ada juga golongan lelaki misalnya tidak kira tahap umur dan status yang juga masih kekaburan dalam soal cara mengitar semula yang tepat di rumah. Seperti mana yang pernah dikatakan sebelum ini, tabiat untuk kitar semula mengambil sedikit masa untuk melakukannya. Mulakan dengan kuantiti yang kecil, mulakan dari rumah. Cara-caranya ialah dengan mengasingkan sampah tersebut. Perkara yang paling senang dan mudah dilakukan ialah mengasingkan semua sampah-sampah yang ada. Kemudian, letakkan bahan-bahan yang boleh dikitar semula di dalam satu tong manakala sampah lain yang tidak boleh dikitar semula dalam tong yang lain. Bahan-bahan yang boleh dikitar semula seterusnya akan diasingkan mengikut kategorinya pula. Harus dipastikan bahawa anda membersihkannya terlebih dahulu sebelum dihantar ke pusat pengumpulan bahan buangan tersebut.Langkah kedua ialah menggunakan bahan-bahan yang lama. Ini adalah lebih baik daripada anda membuang barang-barang lama anda itu merata-rata tempat. Mungkin anda boleh mencuba untuk menggunakannya semula terhadap mana-mana barang yang masih boleh digunakan. Misalnya, botol air mineral yang ada boleh digunakan untuk menyimpan air masak, ataupun dipotong separuh untuk dijadikan pasu dengan gubahan yang kreatif. Seterusnya, anda juga boleh menggunakan langsir yang lama untuk dijadikan kain buruk atau dengan kata yang lain iaitu kain lap ataupun jika anda benar-benar tidak mahu lagi langsir tersebut maka bolehlah anda mendermakannya kepada badan kebajikan sahaja.
Kemudian, anda juga boleh mengambil inisiatif yang lain dengan cara mengurangkan kadar penggunaan barangan yang berunsurkan bahan yang sukar dikitar semula. Caranya disini ialah dengan berhentilah daripada amalan kerap membeli item yang dibungkus dengan bahan yang tidak boleh dikitar semula. Selain itu, belian secara pukal bukan sahaja mengurangkan penggunaan pembungkusan malahan ia juga dapat memberi peluang kepada anda untuk menjimatkan wang.
Selepas kita mengetahui tentang semua maklumat awal sebelum melakukan proses kitar semula maka sekarang kita akan meninjau pula berkenaan bagaimanakah untuk melaksanakan kitar semula. Pertama, bahagian pemungutan sampah. Apa yang perlu anda lakukan hanyalah mengasingkan sampah-sampah yang boleh dikitar semula dan yang tidak boleh dikitar semula. Tugas selanjutnya, akan dilakukan oleh pemungut sampah. Selepas itu, kita akan beralih pula pada pusat pengumpulan atau pusat kitar semula. Apakah fungsi atau peranan pusat kitar semula ini? Tidak lain dan tidak bukan, sudah tentulah pusat tersebut dijadikan sebagai tempat pengumpulan segala macam barangan yang dibuang. Di sinilah tempat di mana anda boleh membawa sejumlah besar barangan yang boleh dikitar semula. Selain daripada pengumpulan barang-barang yang dikitar semula, terdapat juga pusat-pusat jualan yang dibuka untuk membeli barangan terpakai, dan ini dikendalikan oleh beberapa Pertubuhan Badan Bukan kerajaan (NGO) yang akan membantu mempromosikan program kitar semula ini.
Bahan buangan yang tersedia terkumpul itu akan diproses mengikut cara yang berbeza-beza berdasarkan setiap kategori bahan. Bagi bahan berunsur kaca, ia akan diasingkan mengikut warna. Apabila kaca dicairkan, warna asalnya masih kekal bermakna kaca hijau akan kekal menjadi kaca hijau, kaca coklat akan kekal dengan kaca coklat, dan kaca yang jernih akan kekal menjadi kaca jernih. Setelah kaca-kaca tersebut diasingkan mengikut warna dan dibersihkan, ia akan dihancurkan dan ditambah dengan sedikit bahan mentah yang lain untuk dijadikan kaca yang baru. Campuran tersebut akan dipanaskan sehingga cair dan akan membentuk sejenis cecair. Kaca yang masih panas akan dibentuk untuk dijadikan botol penapisan dan pencerahan.
Kemudian, hasil yang diperolehi daripada proses di atas dicampurkan dengan air lalu dipamkan ke bahagian hujung basah mesin membuat kertas. Kertas kemudiannya diratakan oleh mesin pelembut kertas sebelum digulung menjadi satu gulungan kertas yang besar. Gulungan kertas tadi kemudiannya dipotong mengikut pelbagai saiz, bergantung kepada kehendak pelanggan.Kempen kitar semula yang dilancarkan oleh kerajaan ini mempunyai kepentingan dan memainkan peranan yang penting dalam memastikan keseimbangan pembebasan bahan buangan di Malaysia dari terus berleluasa tanpa kawalan. Kitar semula adalah penting untuk memastikan persekitaran yang lebih sihat dan lebih bersih. Seperti yang kita maklum, sampah boleh menjejaskan kesihatan dan keselamatan. Jika dibiarkan bersepah, ia akan menjadi tumpuan haiwan pembawa penyakit seperti lalat, tikus dan gagak. Melalui proses kitar semula, kita dapat mengurangkan sampah yang dibuang dan seterusnya berupaya mengawal penyakit yang kronik daripada menular dan merebak.
Selain itu, kitar semula yang dilaksanakan ini juga adalah penting untuk memberi penjimatan kos yang terpaksa ditampung oleh kerajaan dalam dalam jangka masa panjang. Ini kerana aktiviti mengitar semula adalah dilihat lebih menjimatkan berbanding dengan usaha menyelenggara tapak pelupusan sampah atau sistem yang lain. Apabila program kitar semula di negara kita bertambah cekap, maka sampah yang perlu dilupus akan menjadi semakin berkurangan. Hal ini seterusnya akan memanfaatkan seluruh rakyat kerana caj yang dikenakan untuk pelupusan sampah akan dikurangkan secara total!Tujuan lain kerajaan melancarkan kempen kitar semula ini juga adalah untuk menjimatkan sumber yang kita miliki dalam negara ini.Sebenarnya masih ramai yang tidak menyedari bahawa hakikatnya kita membuang banyak sumber yang amat bernilai dalam kehidupan seharian. Tahukah anda bahawa Malaysia telah mengimport lebih daripada 25,000 tan kertas buangan setiap bulan semata-mata untuk menghasilkan produk kertas bagi menampung permintaan tempatan kita? Pada masa yang sama, kita juga telah mengimport bahan buangan lain untuk industri pengeluaran yang lainnya. Bukankah ini merupakan suatu kerugian yang amat besar kepada kita?
Kesimpulannya, kempen kitar semula adalah sangat penting di dalam kehidupan setiap manusia. Mempelajari tentang kitar semula dan mempraktikkannya adalah dua perkara yang amat berbeza pengertian dan konsepnya. Oleh itu, semua individu atau pengguna adalah digesa supaya mengamalkan kitar semula dalam kehidupan seharian kerana masa depan kita terletak di tangan kita sendiri. Selamatkanlah negara dan sekaligus bumi kita yang tercinta ini dari ancaman pencemaran alam yang serius serta bakal mengundang mudarat terhadap diri kita sendiri kelak.

No comments:

Post a Comment